7 Kelebihan Bagi Orang Yang Belajar Membaca Al-Quran

Sila 'share' jika bermanfaat!

Hukum belajar membaca al-Quran adalah sunat kecuali jika ia sebagai salah satu syarat wajib di dalam solat maka jadi wajib untuk kita belajar. Contonya surah al-Fatihah, wajib seseorang muslim itu belajar membaca surah al-Fatihah kerana di dalam solat kita wajib membaca surah al-Fatihah.

Oleh itu, jika tidak pandai baca al-Quran, hukumnya sunat untuk belajar kecuali surah al-Fatihah. Maknanya, kita tetap wajib belajar surah al-Fatihah kerana kita wajib membacanya di dalam solat dan sebagai seorang muslim kita wajib menunaikan solat.

Bagaimanapun bagi orang yang tidak pandai membaca al-Quran tetapi dia belajar, maka amat besar pahala dan kebaikan yang dia akan dapat. Terdapat banyak kelebihan atau kebaikan bagi orang belajar al-Quran yang diceritakan melalui hadis Nabi saw sebagai membuktikan tidak rugi jika kita belajar al-Quran walaupun baru bermula ketika sudah berumur.

Saya akan terangkan sebahagian daripada kelebihan atau kebaikan bagi orang yang belajar al-Quran berdasarkan hadis.

 7 Kebaikan Atau Kelebihan Bagi Orang Yang Belajar Membaca Al-Quran

1# Satu huruf yang dibaca akan mendapat 10 ganjaran pahala

Besarnya kelebihan belajar al-Quran, kita akan mendapat 10 pahala hanya dengan membaca satu huruf sahaja. Bayangkan jika kita mampu membaca lebih banyak. Semasa belajar sudah semestinya kita tidak terlepas dari membacanya maka insha Allah, disitu sudah dikira pahala untuk kita.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata:

“Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.

(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)

 2# Membaca al-Quran dan susah menyebutnya akan mendapat dua pahala

Ketika belajar membaca al-Quran pasti ada kesalahan menyebutnya kerana itu perkara normal yang berlaku dalam proses pembelajaran. Tetapi yang untungnya ialah walaupun susah menyebut ayat al-Quran tersebut, orang itu akan mendapat dua pahala. Itulah kelebihan bagi orang yang belajar membaca al-Quran.

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah saw:

“Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3# Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran

Orang yang belajar al-Quran dia berpeluang untuk mengajar pula kepada orang lain. Tidak semestinya perlu betul-betul pandai baru boleh mengajar. Sekurang-kurang jika kita belajar dan sudah pandai menyebut makhraj salah satu huruf dengan betul, itu pun sudah boleh kita mengajarkan pula kepada orang lain yang tidak pandai menyebut makhraj huruf tersebut.

Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.

(Hadis Riwayat Bukhari)

4# Allah mengangkat martabat orang yang membaca al-Quran

Bukan senang martabat seseorang manusia itu diangkat oleh Allah kerana kita hamba yang hina. Tetapi bagi yang belajar dan boleh membaca al-Quran, keistimewaan itu akan diberikan oleh Allah kepadanya. Sangat beruntung.

Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:

“Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Jadi jangan malu atau cepat putus asa untuk belajar membaca al-Quran kerana banyak kebaikan atau kelebihan orang yang belajar membaca al-Quran. Seterusnya ialah;

5# Mendapat ketenangan (sakinah) dengan membaca al-Quran

Jika kita belajar al-Quran insha Allah kita akan boleh membacanya sedikit demi sedikit. Walaupun pada mulanya kita dapat membaca hanya surah al-Fatihah atau surah-surah yang pendek tetapi kita cuba selalu baca surah tersebut, insha Allah ketengan akan dirasai. Ketenangan ini datang dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya ia sama dengan orang lain.

Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata :

“Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad saw dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6# Membaca dan memperelokkan bacaan al-Quran akan mendapat kebaikannya.

Sesiapa yang belajar membaca al-Quran dan terus belajar pasti akan sentiasa cuba memperelokkan bacaan atau sebutannya., Rupanya dalam usaha memperelokkan bacaan tersebut rupanya kita akan mendapat lagi kebaikannya. Alhamdulillah.

Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :

“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”.

(Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih)

7# Al-Quran sebagai pembela di akhirat

Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkannya akan medapat pembelaan dari al-Quran di akhirat nanti. Sudah semestinya untuk pandai membaca al-Quran perlu dimulakan dengan belajar. Setelah kita boleh membaca al-Quran cuba amalkan isinya pula, insha Allah di akhirat nanti kita akan mendapat pebelaan dari al-Quran.

Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata :

Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu amat beruntung bagi anda yang tidak tahu membaca al-Quran tetapi berusaha untuk belajar kerana besar kelebihannya untuk anda. Yang penting, niatkan di hati ikhlas kerana Allah dan jangan peduli terhadap suara sumbang yang anda dengar. Janji anda buat perkara yang baik.

Semoga bermanfaat untuk kita bersama dan selamat beramal kawan.

Sila 'share' jika bermanfaat!

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*